Sunday 4 November 2012

Anak muda bukan pewaris kebodohan

Kita perlu percaya bahawa kemodenan memerlukan belia untuk mengharungi kehidupan dengan lebih progresif.

Arus perubahan ketika ini harus lebih berdaya dengan memaksimumkan minda bagi membawa Malaysia satu langkah ke hadapan.
Di seluruh dunia, sejak zaman Rennainsance yang menjadi penggerak utama kepada naik dan jatuhnya sesebuah tamadun adalah kebangkitan anak muda.

Kebangkitan anak muda pada waktu emas Eropah itu melahirkan Da Vinci, Michaelangelo dan pemikir-pemikir seperti Voltaire dan Kant.

Anak muda adalah asas kepada negara yang mendukung aspirasi negara dan menyatukan semangat kepada pembinaan tamadun yang kuat.
Imam Syafie pernah menyebutkan, "Jika mahu lihat masa depan sesebuah negara, lihat anak mudanya sekarang."
AMK Selangor menyakini kefahaman bahawa anak muda harus menjadi kental, keras dan berani untuk menolak kezaliman, menolak rasuah, dan menitik beratkan integriti dan nilai yang positif.

Anak -anak muda juga digalakkan untuk hadir dalam program-program kemasyarakatan dan mengadaptasi erti kerjasama dan semangat bersatu padu.
Anak muda harus berada di barisan hadapan, menjadi ‘whistleblower' dalam negara, iaitu menjadi penggera kepada setiap perkara yang memberi impak buruk kepada negara.

Hingga satu tahap, selayaknya anak muda bakal dijadikan kayu pengukur kepada kecemerlangan negara.
Memaknai kebangkitan belia
Maka inisiatif kerajaan negeri Selangor menganjurkan Hari Belia Antarabangsa 2012 pada 11 Ogos 2012 nanti adalah sebagai satu simbolik penghargaan kerajaan Pakatan Rakyat yang mengiktiraf peranan serta peri penting penyertaan anak muda dalam setiap aspek dan pelan pembangunan negeri.

Sekalung penghargaan buat Tan Sri Dato Seri Abd Khalid Ibrahim, menteri besar Selangor dan YB Dr Ahmad Yunus Hairi, pengerusi jawatankuasa tetap adat resam melayu dan belia dan sukan yang menjadikan program ini satu acara penting buat anak-anak muda
Kerajaan negeri Selangor menganjurkan Hari Belia Antarabangsa 2012 ini dengan pengisian yang lebih santai serta interaktif dengan menyediakan program-program anak muda yang lebih merakyatkan penyertaan mereka.

Alami sendiri kemeriahan dan keseronokan program-program santai anak muda seperti Pertandingan Masak Bubur Lambuk yang mungkin selama ini telah dilupakan semangatnya terutama anak-anak muda.
AMK Selangor melihat segala bentuk program yang dianjurkan oleh kerajaan Pakatan Rakyat sebagai usaha mencerminkan pembentukan belia yang kita impikan untuk masa depan negara.

Jiwa dan kematangan akal harus bergerak seiring, maka penganjuran sesebuah program yang baik akan mencapai sasaran dengan pengisian aktiviti yang menjurus ke arah kebaikan.
Justeru AMK Selangor menyeru agar semua anak muda untuk bersama-sama menjadi ejen perubahan yang akan menganjak pemikiran dan daya anak muda ke satu tahap yang lebih dihormati bukannya menjadi pewaris pada pembodohan minda dan merosakkan perlakuan belia sehingga hanyut dari puncak kegemilangan.

No comments:

Post a Comment

Get widget