Saturday 10 November 2012

DAP gesa inkuiri awam siasat dana RM40 juta



Lim Kit Siang
Lim Kit Siang
SHAH ALAM - Pemimpin veteran Pakatan Rakyat (PR) menggesa supaya satu inkuiri awam diadakan untuk menyiasat sumbangan dana politik RM40 juta kepada Umno Sabah oleh seorang ahli perniagaan yang didedahkan baru-baru ini.

Lim Kit Siang dari DAP berkata, daripada mengamalkan sindrom penafian berkenaan dengan masalah rasuah di Malaysia, pemimpin-pemimpin Umno seharusnya bertanggungjawab penuh dengan mempamerkan iltizam politik dan komitmen untuk melawan "rasuah besar" melibatkan pemimpin-pemimpin politik dan kerajaan.

"... bermula dengan satu inkuiri penuh berhubung skandal sumbangan politik Sabah RM40 juta melibatkan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman dan ahli perniagaan balak Sabah, Micheal Chia," kata beliau di blognya, hari ini.
Kenyataan itu terkandung dalam ucapannya yang disampaikan pada majlis pelancaran Angkatan Perubahan Sabah di Papar semalam.
Kit Siang, Ahli Parlimen veteran berkata, dengan ranking indeks rasuah merosot sepanjang dua dekad lalu dan keadaan semakin buruk berbanding ketika era Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tun
Abdullah Ahmad Badawi, "bagaimana pemimpin-pemimpin Umno boleh memandang kecil masalah besar rasuah di Malaysia di bawah Umno?"
"Melainkan pemimpin-pemimpin Umno boleh menunjukkan bahawa bukan Umno, tetapi parti-parti Barisan Nasional seperti MCA, Gerakan, MIC dan parti-parti Sabah dan Sarawak yang harus memikul tanggungjawab besar berkenaan masalah rasuah besar di Malaysia?" katanya.
Semalam, Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata, masalah persepsi merupakan cabaran utama dalam mengukuhkan imej parti itu di persada politik tanah air.
Beliau berkata, selepas pilihan raya 2004, Umno bukan sahaja berhadapan dengan tohmahan pembangkang yang melabelkannya sebagai parti kronisme, elitis dan korup.

Malah terpaksa berhadapan dengan bekas anggota parti yang kecewa apabila gagal meraih kedudukan politik semasa bersama Umno hingga menjadi manusia yang 'angkuh hati' dan sanggup menyebarkan persepsi buruk mengenai parti.
Dana politik RM40 juta kepada Umno Sabah menjadi isu sejak dua bulan yang lalu. Perkara tersebut kini menjadi modal politik dan kontroversi dengan Pengarah Strategi PKR menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia menjalankan siasatan mendalam.
Baru-baru ini, Setiausaha Barisan Nasional (BN) Sabah, Datuk Abdul Rahman Dahlan berkata, dana RM40 juta yang diberikan kepada Umno Sabah oleh penyumbang yang ingin dirahsiakan namanya, yang kini dikaitkan dengan Chia, adalah bagi kegunaan perancangan program parti dan Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).
Katanya, sumbangan yang diberikan itu adalah dari penyumbang yang  percaya kepada dasar-dasar kepimpinan parti supaya dana itu boleh disalurkan untuk aktiviti parti dan perancangan program masa depan.

No comments:

Post a Comment

Get widget