Thursday 15 November 2012

Harapan Malaysia semakin pudar pada Piala Sultan Johor

JOHOR BAHARU - Impian Malaysia untuk mempertahankan Piala Sultan Johor semakin pudar apabila kalah 3-2 kepada naib juara Australia pada Kejohanan Hoki Antarabangsa Bawah 21 Tahun di Stadium Hoki Taman Daya di sini, hari ini.
    
Ini merupakan kekalahan kedua-dua berturut-turut buat skuad kendalian Muhammad Dharma Raj Abdullah selepas dipalit kekalahan mengejut 5-2 oleh New Zealand kelmarin.
    
Bagaimanapun, pasukan negara menampilkan aksi yang lebih cemerlang berbanding sebelum ini walaupun dikejutkan dengan gol pembukaan Australia menerusi jaringan Blake Govers pada minit ke-23.
    
Pemain negara Muhammad Firhan Ashaari bagaimanapun bingkas menyamakan kedudukan menerusi hasil pukulan sudut penalti pada minit ke-34 diikuti jaringan oleh Amir Farid Ahmad Fuzi seminit kemudian.
    
Sebaik perlawanan bersambung pada separuh masa kedua, Malaysia terus mengasak dengan mengatur serangan demi serangan ke gawang pasukan lawan.

Bagaimapun rentak permainan pasukan negara mula pincang apabila kapten pasukan iaitu Muhammad Noor Feez Ibrahim dan Shazril Irwan Nazli diperintah keluar padang buat seketika pada minit ke-50 setelah membantah keputusan pengadil perlawanan Coen van Bunge.
    
Kesempatan itu pantas digunakan sepenuhnya oleh pasukan anak didik Paul Gaudoin untuk menyamakan kedudukan pada minit ke-52 melalui Flynn Ogilvie.  
    
Dengan hanya sembilan pemain, Malaysia yang mendapat dua percubaan pukulan sudut penalti gagal memanfaatkan peluang itu untuk menyamakan kedudukan.
    
Kane Posselt muncul wira pasukan Australia apabila menyumbat gol kemenangan pada minit ke-60.
    
Hasrat lebih 4,000 penonton untuk menyaksikan skuad negara menyamakan kedudukan sekali lagi hampa apabila Muhammad Noor Faeez gagal memanfaatkan dua pukulan sudut penalti pada minit ke-65 dan 66 menyaksikan Malaysia terpaksa akur dengan kekalahan tersebut.

Keputusan pengadil perlawanan dari Belanda itu membangkitkan rasa tidak puas hati di kalangan penonton yang memaksa pihak urusetia terpaksa mengiringi beliau sebaik perlawanan tamat.
    
Sementara itu,  Muhammad Dharma Raj menyifakan tindakan pengadil melayangkan kad kuning dan memerintah dua pemain keluar padang buat seketika merupakan satu tindakan kejam.
    
"Kekalahan ini memberikan tekanan kepada kami dan ini kami mesti memenangi dua baki perlawanan dengan Pakistan dan India jika mahu melangkah ke peringkat akhir," katanya.
    
Beliau turut mengakui pasukan negara gagal memberikan persembahan terbaik dan tidak dapat menyempurnakan sembilan pukulan sudut penalti untuk meraih kemenangan.
    
Dalam pada itu, pada perlawanan lain, Jerman mengalahkan New Zealand 5-1 manakala India dan Pakistan seri tanpa jaringan.
    
Esok, Australia akan menentang Jerman pada jam 4.05 petang, New Zealand bertemu India (6.05 petang) manakala Malaysia bertemu Pakistan pada jam 8.05 malam

No comments:

Post a Comment

Get widget