Thursday 29 November 2012

Harimau kembali bernafas

Harimau kembali bernafas
 
PINTU ke separuh akhir Piala AFF Suzuki kembali terbuka buat anak buah Datuk K Rajagobal selepas mencatat kemenangan ke atas Laos, malam tadi.
Skuad Harimau Malaya yang terdesak memburu tiga mata, membaham skuad Kokichi Kimura 4-1, sekali gus melenyapkan seketika kekecewaan tewas pada perlawanan pertama.

Safiq Rahim yang menerima kritikan sebelum ini membuka tirai jaringan pada minit ke-15 menerusi satu sepakan percuma selepas Norshahrul Idlan Talaha dijatuhkan di luar kotak penalti.

Gol berkenaan berjaya menyuntik semangat pemain untuk  memburu jaringan tambahan namun, gandingan Safee-Mat Yo gagal menyempurnakan beberapa peluang terhidang.

Menuju penghujung babak pertama Malaysia menggandakan asakan ke kubu Laos, namun kesilapan Safiq menghantar bola kepada pemain lawan membawa padah, apabila Khonesavanh Sihavong bijak menggunakan peluang untuk meledak gol penyamaan Laos pada minit ke-38.

Bersambung babak kedua, Rajagobal melakukan pertukaran dengan mengeluarkan Azmi Muslim dengan memasukkan Zubir Azmi.

Sedar hanya kemenangan sahaja mampu menyelamatkan kempen Malaysia pada kali ini, skuad kebangsaan kembali mengatur serangan dan hampir berada di hadapan, namun tandukan Safee pada minit ke-62 sedikit tersasar.

Bagaimanapun, empat minit kemudian penyerang Pelita Jaya itu menebus kesilapannya dengan jaringan kedua Malaysia selepas menyempurnakan hantaran Wan Zack Haikal.

Pada minit ke-75 tiba giliran Wan Zack mencetak nama selaku penjaring apabila mudah menanduk masuk untuk jaringan ketiga Harimau Malaya.

Selesa mendahului 3-1, Rajagobal melakukan pertukaran kedua dengan memasukkan Khyril Muhymeen Zambri untuk digantikan dengan Safee dan ternyata ia tidak sia-sia apabila penyerang

Kedah itu meledak gol  keempat  pada minit ke-78 selepas hanya beberapa minit berada di atas padang.

Kemenangan 4-1 diraih skuad kebangsaan menjadi penyuntik motivasi bagi mengalahkan Indonesia pada perlawanan wajib menang Sabtu ini untuk mara ke pusingan separuh akhir.

No comments:

Post a Comment

Get widget