Sunday 11 November 2012

KPT salur peruntukan kepada UPM untuk penyelidikan ikan patin

Temerloh - Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) menyediakan peruntukan RM182,000 bagi menjalankan kajian mengenai ikan patin di Temerloh bagi tempoh dua tahun lepas.
    
Timbalan Menteri Datuk Saifuddin Abdullah, yang juga anggota Parlimen Temerloh berkata peruntukan tersebut yang diberikan kepada Universiti Putra Malaysia (UPM) berjaya menghasilkan beberapa produk yang berasaskan ikan patin.    

"Antara produk yang berjaya dihasilkan adalah masakan tempoyak, asam pedas, goreng berlada dan masakan barat.
   
"Kajian selanjutnya akan dilakukan secara lebih menyeluruh dan komprehensif bagi memastikan produk ikan patin boleh memasuki negara luar," katanya.
   
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Karnival dan Seminar Ikan Patin Temerloh 2012, di sini hari ini.
   
Saifuddin berkata setakat ini pengeluaran ikan patin di Temerloh hanya antara 60 hingga 70 tan metrik sebulan dan ia masih belum mencukupi untuk pasaran luar.
   
Sehubungan itu, beliau berharap melalui hasil penyelidikan UPM ini dan kerjasama erat dengan beberapa agensi kerajaan dan swasta akan tingkatkan lagi pengeluaran hasil ikan patin di Temerloh. 

No comments:

Post a Comment

Get widget