Tuesday 13 November 2012

Wan Azizah: 'Biar cahaya kemenangan bangkit semula'


Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail
Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail
SHAH ALAM – PKR menyeru rakyat Malaysia mengingati mereka yang sedang menghadapi "kegelapan" - kesukaran dan keperitan hidup masing-masing - sempena sambutan Deepavali.

Presidennya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, ingatan tersebut wajar bersesuaian dengan erti sambutan perayaan ini yang bermaksud ‘sebarisan pelita’dan melambangkan simbol kemenangan cahaya apabila berhadapan dengan kegelapan.

“Apabila anda menyalakan pelita dipa bersama keluarga anda, harapan saya bahawa anda mengingati Indra, yang masih menantikan keadilan untuk anaknya Kugan yang telah menjadi mangsa keganasan polis ketika dalam tahanan.

“Tatkala anda menjamu laddoo dan barfi, ingatlah ibu-ibu seperti Suppama yang dinafikan bantuan kerajaan, malah tidak diizinkan mengisi borang e-kasih,” katanya dalam perutusan sempena Deepavali, hari ini.

Tambahnya, Deepavali dari segi spiritualnya meraikan cahaya – meraikan kebaikan yang wujud dalam hati setiap insan.

Sehubungan itu, beliau berharap perayaan itu merupakan suatu kemenangan atas segala kegelapan – baik yang lahir dari kejahilan dan prejudis, mahupun penganiayaan yang membabitkan seluruh masyarakat.

“Saya mengingatkan diri saya serta rakyat Malaysia bahawa perjalanan kita masih jauh, dan perjuangan kita terlalu hampir untuk kita pandang leka.

“Biarlah cahaya kemenangan itu bangkit semula, dan biarlah ia terus menerangi perjuangan kita rakyat Malaysia,” katanya lagi.

Dalam pada itu, beliau juga mendakwa, masih terdapat ribuan penduduk berketurunan India yang tidak diiktiraf status kewarganegaraan untuk membuktikan bahawa mereka rakyat asal Malaysia.

Dr Wan Azizah turut mendakwa, seramai 1,758 orang India yang membesar di rumah-rumah kebajikan yang  dibiayai kerajaan tidak mempunyai kerakyatan dan dokumen pengenalan diri.

No comments:

Post a Comment

Get widget