Wednesday 31 October 2012

Hafizh pulang ke Sepanyol


 
 Hafizh Syahrin Abdullah


Hafizh Syahrin Abdullah terbang ke Sepanyol untuk melengkapkan penyertaannya dalam Kejohanan  Motosikal Sepanyol CEV Buckler.
Setelah hampir empat hari selepas pelumbaan yang mengagumkan negara dan dunia dengan pencapaian meraih tempat keempat dari petak ke-27 dalam perlumbaan Moto2,Grand Prix Motosikal Malaysia, pelumba muda ‘luar biasa’ Hafizh Syahrin Abdullah terbang semula ke Sepanyol untuk melengkapkan penyertaannya dalam Kejohanan  Motosikal Sepanyol CEV Buckler.
Dengan perlumbaan terakhir kurang daripada tiga minggu lagi pada 18 November, pelumba PETRONAS Raceline Malaysia berusia 18 tahun ini akan meneruskan latihannya dalam persediaan untuk acara kemuncak Valencia di mana dia akan cuba mengakhiri saingan tahun ini dengan memecah ke dalam kelompok lima pelumba teratas kelas Moto2 sekaligus mempertahankan Piala Persendirian yang kini dalam genggamannya.
Selepas enam perlumbaan, Hafizh yang berkedudukan keenam keseluruhan, hanya 10 mata yang membezakannya dari tempat kelima keseluruhan. Pencabar di hadapannya adalah pelumba Sepanyol Daniel Rivas yang mengumpul 65 mata berbanding Hafizh 55 mata. Pada masa yang sama, Hafizh turut memiliki kelebihan 10 mata dalam Piala Persendirian CEV Buckler.
"Hanya dua pesaing lain berpotensi menghalang rancangan Hafizh untuk memenangi piala tersebut dan mereka adalah Santiago Hernandez dari Colombia dan pelumba Afrika Selatan, Steven Odendaal.
“Saya terlepas peluang meraih podium CEV Buckler sepanjang musim ini dan saya benar-benar berharap untuk mencapainya dalam pusingan akhir," kata Hafizh. "Selepas perlumbaan, saya akan terus berada di Barcelona untuk latihan luar musim dan ujian dengan pasukan."

KAFA enggan lepas Mat Yo


 
 Norshahrul Idlan Talaha (tengah) ketika beraksi menentang ATM.

KAFA belum bersedia melepaskan penyerang berbisa mereka, Norshahrul Idlan Talaha mewakili pasukan lain musim depan, termasuk Johor yang dikatakan berminat mendapatkan khidmat pemain berkenaan.
Setiausaha Kehormat Persatuan Bolasepak Kelantan (Kafa) Azman Ibrahim berkata berdasarkan kontrak yang ditandatangani, pemain berusia 26 tahun itu masih mempunyai baki setahun bersama Kelantan.
"Kelmarin, Setiausaha Kehormat PBNJ (Persatuan Bolasepak Negeri Johor, Suhairi Hashim) menghubungi saya memaklumkan bahawa beliau akan menghantar surat buat kali kedua untuk menawarkan pampasan bagi melepaskan Norshahrul.
"Kami akan membincangkan status Norshahrul dalam mesyuarat jawatankuasa pasukan yang akan diadakan tidak lama lagi," katanya ketika ditemui pemberita selepas majlis Anugerah Bolasepak Kebangsaan 100PLUS-Astro Arena-FAM.
Media sebelum ini, melaporkan bahawa PBNJ berminat mendapatkan khidmat penyerang itu berikutan prestasi cemerlangnya bersama Kelantan musim ini termasuk menyumbat dua gol ketika perlawanan akhir menentang Angkatan Tentera Malaysia (ATM), sekali gus membantu The Red Warriors muncul juara Piala Malaysia buat kali kedua.
Norshahrul yang dikenali dengan panggilan 'Mat Yo' dalam kalangan rakan sepasukan dikatakan menghantar surat kepada Kafa baru-baru ini, untuk membolehkan beliau berhijrah ke pasukan lain namun jawatankuasa pasukan menolaknya dengan alasan pemain itu masih mempunyai kontrak setahun lagi.
Sementara itu, Norshahrul yang ditemui pemberita pada majlis itu berkata beliau masih berminat mewakili pasukan Johor kerana ingin mencari angin baru.
"Saya difahamkan PBNJ masih menaruh minat untuk mendapatkan khidmat saya namun semuanya terserah kepada pengurusan pasukan (Kelantan) untuk menentukan masa depan saya," katanya yang dipilih sebagai penyerang terbaik kebangsaan untuk kali ketiga berturut-turut pada majlis itu.
Beliau berkata fokusnya kini ialah persiapan bersama skuad kebangsaan untuk mempertahankan kejuaraan Piala AFF, yang dijadual bermula 23 Nov ini.

Sterling jadi sensasi


 
 Raheem Sterling


Steven Gerrard percaya bintang muda Liverpool, Raheem Sterling telah menjadi sensasi sejak beraksi dalam kesebelasan utama di Anfield.
Sterling, 17, telah mendapat kepercayaan sepenuhnya daripada bos baru Liverpool, Brendan Rodgers apabila pemain itu diletakkan secara tetap dalam kesebelasan utama.
Pada perlawanan terbaru menentang Reading (1-0), Sterling menjaringkan gol sulungnya untuk Liverpool sekaligus menjadikannya penjaring kedua termuda Reds selepas Michael Owen. Jaringan tersebut turut memberikan Liverpool kemenangan sulung di gelanggang sendiri pada musim ini.
Gerrard mengakui Sterling cepat menyesuaikan diri dalam dunia Liga Perdana Inggeris selepas mempamerkan prestasi yang memberangsangkan.
“Saya rasa Sterling telah mengejutkan semua pihak," kata kapten Liverpool itu.
“Beliau sudah mempamerkan aksi hebat dalam tahap ini (EPL). Beliau membuktikan kemampuannya untuk beraksi dalam kesebelasan utama, walaupun ramai pihak yang tidak menjangkakan dia boleh melakukannya.
“Beliau kini menjadi sensasi" tambanya.

Chelsea buat bantahan




 



Chelsea menamatkan rekod bersihnya musim ini selepas tewas kepada Manchester United 3-2.
Dalam perlawanan tersebut, ia dicemari dengan sikap dan keputusan pengadil perlawanan Mark Clattenburg yang menimbulkan kemarahan banyak pihak terutamanya penyokong The Blues.
Berikutan rasa kecewa, Chelsea telah membuat bantahan terhadap Clattenburg yang didakwa menggunakan "bahasa tidak sesuai".
Clattenburg melayangkan kad merah kepada pemain Chelsea, Branislav Ivanovic dan Fernando Torres di separuh masa kedua selepas mereka bertarung untuk bangkit daripada ketinggalan 0-2 di Stamford Bridge. Gol kemenangan United oleh Javier Hernandez juga dalam keadaan offside.
"Kami akan membuat bantahan kepada Liga Perdana kerana kecewa dengan bahasa tidak sesuai digunakan pengadil dan membuang padang dua pemain kami dalam dua insiden berlainan," kata jurucakap kelab itu..
"Bantahan berhubung perlawanan itu akan diserahkan kepada Persatuan Bola Sepak (FA) Inggeris," tambahnya.

Nazri: Kita tak lindungi 'peniup trompet'




 
Akta Perlindungan Pemberi Maklumat untuk melindungi pembocor maklumat dalam isu rasuah tidak terpakai dalam kes berkaitan National Feedlot Corporation (NFC), kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Nazri Aziz.

Beliau mempersoalkan perlindungan terhadap pihak terbabit kerana dalam kes NFC, perkara itu dihebohkan kepada semua orang sehingga seluruh dunia tahu mengenainya.

Bercakap dalam Dewan Rakyat semasa sesi soal jawab, menteri undang-undang itu berkata, akta itu hanya melindungi pembocor maklumat dan bukannya pihak yang melanggar undang-undang, seperti Akta Perbankan dan NONEInstitusi Kewangan (Bafia).

"Dalam kes NFC, dia bukan whistle-blower (pembocor maklumat), dia trumpet blower (peniup trompet). Kita tak lindungi trumpet blower," katanya separuh berseloroh.

"Asalnya ialah (isu) kerahsian, iaitu elemen yang penting. Kalau dia tiup terompet seluruh dunia, orang dah kenal, orang dah tahu dia, nak lindungi apa lagi?

"Yang kedua, kita mesti faham, Akta Perlindungan Pemberi Maklumat tak boleh lindungi orang yang buat kesalahan. Ia untuk lindungi whistle-blower (pemberi maklumat). Kalau dia langgar Bafia, kita tak boleh lindungi dia kerana dia adalah pesalah."

Beliau mengulas perkara itu ketika menjawab soalan tambahan daripada Tan Sri Khalid Ibrahim (PKR-Bandar Tun Razak) yang mahu tahu kenapa pihak yang mendedahkan salah laku dalam projek lembu itu tidak diberi perlindungan undang-undang.  Sebagai rakyat Malaysia apa pandangan anda dengan kenyataan ini.
Get widget