Tuesday 13 November 2012

Selangor yakin raih minimum satu piala tahun depan


logo skuad selangor
.
MENGAKHIRI musim 2012 tanpa sebarang piala apabila sekadar menduduki tangga ketiga Liga Super dan separuh akhir Piala Malaysia, Penolong Jurulatih Selangor, P Maniam yakin The Red Giants akan merangkul sekurang-kurangnya satu piala musim depan.

Bagaimanapun  jelasnya, anak buah Irfan Bakti harus berusaha gigih dari sekarang kerana sudah pasti Selangor akan mendapat tentangan sengit daripada pasukan lain terutama juara Liga Super 2012, Kelantan.

"Tahun lepas kita tidak memperoleh sebarang piala apabila sekadar menduduki tangga ketiga Liga Super dan separuh akhir bagi Piala Malaysia.

"Jadi, musim depan saya yakin sekurang-kurangnya satu piala menjadi milik skuad Merah Kuning," kata Maniam ketika dihubungi Sinar Harian Online, hari ini.
Begitupun, Maniam berkata, usaha gigih harus diperkuatkan dalam diri pemain kerana bukan mudah untuk merangkul sesuatu kejuaraan.

"Pemain harus rajin berlatih, bersemangat dan tumpukan setiap taktik yang diajarkan oleh Irfan. Sekiranya semua itu dapat dipratikkan dengan baik oleh pemain, tidak mustahil kita mampu bergelar juara.
“Apa-apa pun, saya yakin Irfan mampu membantu Selangor muncul sebagai juara Liga Super pada musim depan," kata Maniam.yang menaruh kepercayaan sepenuhnya kepada Irfan.

Dalam pada itu, ketika diminta mengulas ketiadaan Safiq Rahim mulai musim depan, Maniam mengakui bahawa ia sedikit sebanyak memberi kesan kepada Gergasi Merah selepas kehilangan pakar sepakan percuma itu.

“Tidak dapat dinafikan, kehilangan Safiq memberikan kesan kepada Selangor. Dia merupakan seorang ketua pasukan yang bagus serta pakar dalam gerakan set-piece.

“Namun, bola sepak adalah semangat berpasukan dan ia bukan dalam bentuk individu," jelas Maniam lagi.

Tambah Maniam, beliau turut yakin dengan kombinasi pemain baru dan lama mampu memberi satu keputusan positif buat Gergasi Merah bagi mengharungi saingan Liga M musim depan.

“Kami kini berwajah baharu dan saya menyeru kepada pemain-pemain baru dan lama Selangor agar menamatkan penantian untuk memenangi trofi Liga Super musim depan.

“Justeru, saya berharap mereka dapat bekerjasama dalam usaha untuk membentuk persefahaman lebih mantap dan mengekalkan reputasi Selangor,” ujar beliau.

Hoki Piala Sultan Johor: Malaysia tewas 5-2

MALAYSIA gagal mengekalkan momentum memburu kemenangan kedua berturut-turut apabila tumpas 5-2 kepada New Zealand pada Kejohanan Hoki Piala Sultan Johor di Stadium Hoki Taman Daya di sini, malam tadi.

Faktor keletihan menjadi punca skuad bimbingan Mohd Dharma Raj Abdullah gagal menandingi rentak pasukan New Zealand yang melancarkan serangan bertali arus untuk mencapai kemenangan mudah.

Perlawanan yang bermula lewat sejam berikutan hujan menyaksikan pasukan New Zealand menguasai perlawanan dan terus membolosi benteng pertahanan negara pada babak kedua perlawanan.

New Zealand berjaya menghasilkan gol pembukaan menerusi Ben Radovonich pada minit ke-17 sebelum Malaysia, selaku juara bertahan, menyamakan kedudukan melalui strok yang disempurnakan oleh kapten Muhammad Noor Faeez Ibrahim.

Sorakan lebih 7,000 penonton yang hadir menyaksikan perlawanan itu bagaikan meniup semangat kepada pasukan negara untuk menambah jaringan dan dua minit Muhammad Noor Faeez menyempurnakan pukulan sudut penalti.

Bagaimanapun, New Zealand mengambil kesempatan daripada kealpaan benteng pertahanan negara untuk menyamakan kedudukan menerusi Parker Brennan Alexander pada minit ke-30.

Tidak cukup dengan itu pasukan negara yang dilihat agak keletihan sekali lagi dikejutkan oleh jaringan Radovonich pada minit ke-32.

Selepas berehat separuh masa pertama, harapan penonton untuk melihat kebangkitan pasukan negara tidak kesampaian apabila gawang negara terus digegarkan oleh jaringan Kane Russel pada minit ke-46 dan Michael Ritchie minit ke-52.

Beberapa pukulan sudut penalti yang diperoleh pasukan negara dalam separuh masa kedua gagal dimanfaatkan untuk mengejar pasukan Kiwi.

Sementara itu, Muhammad Dharma Raj memberikan alasan bahawa anak buahnya terlalu keletihan selepas berhempas pulas mengalahkan Jerman 3-2 pada perlawanan pembukaan semalam.

Sebelum itu dalam perlawanan lain, naib juara tahun lepas, Australia mengalahkan Pakistan 5-1 manakala India mencapai kejayaan kedua apabila menundukkan Jerman 3-1.

Hari ini, kejohanan antarabangsa bawah 21 tahun itu berhenti rehat sempena sambutan Hari Deepavali.

Esok, Jerman akan menentang New Zealand (4.05 petang), Malaysia bertemu Australia (6.05 pertang) dan India menentang Pakistan pada pukul 8.05 malam.

Muktamar: Pas Kedah tonjol model tadbiran Islam


.
Muhammad Sanusi Md Noor
Ketua Penerangan Pas Kedah, Muhammad Sanusi Md Noor
ALOR SETAR - Pas Kedah akan menonjolkan model pentadbiran Islam dalam masyarakat majmuk pada Muktamar Pas Pusat kali-58 yang berlangsung di Kelantan minggu ini.

Ketua Penerangan Pas Kedah, Muhammad Sanusi Md Noor berkata, mereka akan menggunakan sepenuhnya peluang pentas muktamar untuk mengetengahkan pencapaian serta kejayaan Pas dalam menerajui sepenggal kerajaan Pakatan Rakyat (PR) di Kedah.

Menurutnya, usaha berkenaan bagi membolehkan segala maklumat berkenaan pencapaian itu sampai sepenuhnya kepada pengetahuan Pas Pusat serta Pas negeri lain.

Pas mengetuai pentadbiran Kerajaan Negeri Kedah sejak Mac 2008.

“Walaupun kita menghadapi cabaran dalam mentadbir kerajaan, namun tidak besar hanya sedikit cabaran sahaja,” katanya kepada Sinar Harian di sini, semalam.

Mengulas mengenai kenyataan Naib Presiden Pas, Salahuddin Ayub berhubung perwakilan Pas bebas membentangkan sebarang usul walaupun pada tahap mengkritik pemimpin sendiri, Sanusi turut menyambut baik usaha itu.
Menurutnya, bagaimanapun isu yang lebih penting untuk diketengahkan perlu menyentuh usaha untuk mengukuhkan pendirian Pas dari dalam terutamanya menghadapi situasi negara yang semakin mencabar.


“Muktamar kali ini juga dilihat sebagai medan untuk pembahas mempersiapkan isu menjurus kepada usaha Pas menerajui Kerajaan Persekutuan termasuk mengukuhkan Pas dalam komponen PR.

“Perwakilan tidak boleh menjadikan pentas muktamar sebagai tempat melepaskan geram semata-mata tetapi untuk kemajuan Pas,” katanya.

Sanusi yang juga Timbalan Ketua Pemuda Pas Kedah berkata, muktamar berkenaan turut membantu mempersiapkan Perwakilan Pemuda Pas yang boleh menyediakan pelbagai jawapan untuk berhadapan dengan pertanyaan pengundi baru tentang pelbagai isu politik.

“Golongan pengundi muda sekarang memerlukan jawapan kukuh serta pantas bagi menjawab tohmahan serta pertanyaan isu yang sering diputarbelit  oleh pihak mempunyai kepentingan tertentu,” katanya.

Menurutnya, mereka juga akan memfokuskan isu yang dapat mendekati kelompok pengundi muda yang pertama kali mengundi melalui media baru termasuk jaringan laman sosial serta blog.

Sementara itu, Ketua Dewan Muslimat Pas Kedah, Datuk Siti Ashah Ghazali berkata, antara isu yang akan disentuh oleh perwakilan mereka turut memfokuskan isu pendidikan dan ekonomi termasuk isu lain.

“Bagaimanapun maklumat secara terperinci kita belum terima kerana Dewan Muslimat Pas Kawasan menghantar terus usul berkenaan kepada Muslimat Pas Pusat,” katanya.

Bendera Malaysia dibakar berhampiran kediaman Duta Besar di Jakarta

JAKARTA - Isu tiga anggota polis Malaysia yang didakwa merogol seorang wanita rakyat Indonesia di Pulau Pinang baru-baru ini menyebabkan sekumpulan penunjuk perasaan berdemonstrasi berhampiran kediaman Duta Besar Malaysia ke Indonesia, di Jalan Patra Kuningan Utara di sini pada Selasa.
   
Dalam demonstrasi pada pukul 1 petang itu, kira-kira 20 orang yang mewakili kumpulan Benteng Demokrasi Rakyat (Bendera) mendesak kerajaan Indonesia mengusir Duta Besar Malaysia dari republik itu selain bertindak membakar bendera Malaysia bagi menunjukkan kemarahan terhadap kejadian yang berlaku ke atas wanita berusia 25 tahun itu.
   
Demonstrasi itu diadakan kira-kira 100 meter dari Kediaman Rasmi Duta Besar Malaysia itu kerana pihak polis Indonesia telah menutup jalan di hadapan kediaman itu dan menghalang kumpulan penunjuk perasaan daripada beraksi di hadapan kediaman itu.
   
Kumpulan penunjuk perasaan itu turut mendesak Presiden Indonesia Susilo Bambang Yudhoyono bertindak tegas berhubung kejadian itu dengan mengusir Duta Besar Malaysia ke Indonesia dari republik itu.
   
Mereka menyalahkan Yudhoyono yang didakwa gagal melindungi warganegara Indonesia di Malaysia dan meminta Presiden Indonesia itu mengundurkan diri jika beliau gagal mengusir Duta Besar Malaysia.
 
Dalam demonstasi selama 50 minit itu, beberapa peserta termasuk kanak-kanak dan wanita memegang kain sepanduk berwarna merah yang antara antara lain bertulis 'Usir Duta Besar Malaysia, Ganyang dan lawan Malaysia'.
   
Pasukan Polis Indonesia, termasuk anggota dari unit pemusnah bom, mengawal ketat di kawasan sekitar Kediaman Rasmi Duta Besar Malaysia itu sepanjang demonstrasi berlangsung.
   
Sejumlah besar anggota polis Indonesia turut berkawal di luar bangunan Kedutaan Besar Malaysia di Jalan H.R. Rasuna Said, Kuningan bagi mengawal keadaan jika berlaku demonstrasi di situ, namun bas yang membawa kumpulan dari Bendera itu hanya melalui kawasan itu.

Wan Azizah: 'Biar cahaya kemenangan bangkit semula'


Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail
Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail
SHAH ALAM – PKR menyeru rakyat Malaysia mengingati mereka yang sedang menghadapi "kegelapan" - kesukaran dan keperitan hidup masing-masing - sempena sambutan Deepavali.

Presidennya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, ingatan tersebut wajar bersesuaian dengan erti sambutan perayaan ini yang bermaksud ‘sebarisan pelita’dan melambangkan simbol kemenangan cahaya apabila berhadapan dengan kegelapan.

“Apabila anda menyalakan pelita dipa bersama keluarga anda, harapan saya bahawa anda mengingati Indra, yang masih menantikan keadilan untuk anaknya Kugan yang telah menjadi mangsa keganasan polis ketika dalam tahanan.

“Tatkala anda menjamu laddoo dan barfi, ingatlah ibu-ibu seperti Suppama yang dinafikan bantuan kerajaan, malah tidak diizinkan mengisi borang e-kasih,” katanya dalam perutusan sempena Deepavali, hari ini.

Tambahnya, Deepavali dari segi spiritualnya meraikan cahaya – meraikan kebaikan yang wujud dalam hati setiap insan.

Sehubungan itu, beliau berharap perayaan itu merupakan suatu kemenangan atas segala kegelapan – baik yang lahir dari kejahilan dan prejudis, mahupun penganiayaan yang membabitkan seluruh masyarakat.

“Saya mengingatkan diri saya serta rakyat Malaysia bahawa perjalanan kita masih jauh, dan perjuangan kita terlalu hampir untuk kita pandang leka.

“Biarlah cahaya kemenangan itu bangkit semula, dan biarlah ia terus menerangi perjuangan kita rakyat Malaysia,” katanya lagi.

Dalam pada itu, beliau juga mendakwa, masih terdapat ribuan penduduk berketurunan India yang tidak diiktiraf status kewarganegaraan untuk membuktikan bahawa mereka rakyat asal Malaysia.

Dr Wan Azizah turut mendakwa, seramai 1,758 orang India yang membesar di rumah-rumah kebajikan yang  dibiayai kerajaan tidak mempunyai kerakyatan dan dokumen pengenalan diri.

AES: Kelantan tunggu penjelasan kementerian


Datuk Takiyuddin Hassan
Datuk Takiyuddin Hassan
KOTA BHARU – Kerajaan Kelantan tidak menolak sepenuhnya penggunaan Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) sebaliknya menunggu penerangan Kementerian Pengangkutan mengenai keberkesanan sistem tersebut.

Bagi tujuan itu, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, Kerajaan Negeri terpaksa menangguhkan AES berikutan banyak perkara yang masih belum jelas termasuk keberkesanannya.

“Kami tangguh dulu pemasangan AES kerana masih belum mendapat apa-apa penerangan yang jelas tentang fungsi, kebaikan dan keberkesanan sistem tersebut. Ia masih tidak jelas sama ada sistem tersebut memberi manfaat atau tidak,” katanya kepada Sinar Harian semalam.

Menurutnya, kerajaan Kelantan akan mendengar penjelasan dan mungkin akan mempertimbangkan pemasangan AES jika ia terbukti berkesan dan tidak membebankan rakyat.

Ketika ditanya mengenai denda yang dikenakan ke atas pemandu yang tidak mematuhi had yang ditetapkan, beliau berkata, jumlah yang dikenakan terlalu tinggi dan boleh membebankan rakyat.

“Jika ia merupakan pengajaran, tidak perlu kenakan jumlah denda yang tinggi, ini bukan pengajaran tapi satu hukuman.

“Hak kebenaran untuk pemasangan AES di negeri terletak pada Kerajaan Negeri, maka kami menunggu kementerian untuk datang beri penjelasan, rakyat pun sedang menanti keputusan kami,” katanya.

Beliau turut menjelaskan, kawasan terpilih pemasangan AES di negeri ini juga tidak munasabah kerana keadaan kawasan tersebut kurang jumlah kemalangan dan tidak melibatkan kemalangan maut.

“Kami akan kaji dulu kawasan yang terlibat kerana dari apa yang saya lihat, ada di antaranya tidak munasabah kerana kawasan tersebut jarang berlaku kemalangan dan had laju yang ditetapkan juga sudah bersesuaian,” katanya.

Sebelum ini, negeri-negeri yang dikuasai Pakatan Rakyat mahu Kerajaan Persekutuan menangguhkan pelaksanaan AES di negeri ini kerana tidak mendapat penjelasan yang menyeluruh tentang keberkesanan sistem tersebut.

Butler bimbing T-Team



Kemelut PBSNT dengan Peter Butler bakal berakhir apabila jurulatih tersebut akan membimbing T-Team musim hadapan. Butler bakal mencipta rekod sebagai jurulatih import yang paling banyak membimbing pasukan dalam Liga Malaysia bermula dengan Sabah, Kelantan, Terengganu dan yang tebaru T-Team.

Menjelang perlawanan persahabatan

Rajagobal menggugurkan 4 pemain sebelum aksi persahabatan menentang Hong Kong malam esok. Pemain yang digugurkan Amiridwan Taj, Nik Shahrul Azim, Rizal Fahmi Rosid serta Yong Kuong Yong atas alasan ingin mendapatkan pemain yang berkebolehan bermain dibeberapa posisi dengan baik. Sementara itu Irwan Fadzly Idrus serta Ahmad Hazwan Bakri dipanggil semula untuk memperkuatkan pasukan.
Get widget