Thursday 15 November 2012

Rajagobal masih optimis


K Rajagobal
Jurulatih Harimau Malaya, Datuk K.Rajagopal
SUSULAN mencatat keputusan seri 1-1 dengan Hong Kong dalam perlawanan persahabatan malam tadi, jurulatih skuad Kebangsaan, Datuk K.Rajabobal tidak dapat menyembunyikan perasaanya apabila beliau mengakui kini bimbang terhadap prestasi anak buahnya yang dilihat tidak berada di tahap yang sebenar.

Jelasnya, hanya tinggal 10 hari lagi menjelang Piala Suzuki AFF 2012, para pemain tidak dapat memberikan corak permainan seratus peratus seperti yang diharapkan, sebaliknya gagal menandingi tempo permainan lebih agresif dan laju yang dipamerkan oleh pemain pasukan pelawat.

"Kita gagal mengekalkan rentak menyerang selepas Safee Sali menjaringkan gol pertama.

"Dan saya lihat bahagian tengah skuad kebangsaan kerap kehilangan bola dan sering membuat hantaran yang tidak tepat," kata Rajagobal ketika ditemui selepas perlawanan itu.

Semalam, Malaysia terus mempamerkan aksi kurang menyengat apabila sekadar seri 1-1 dengan Hong Kong dalam perlawanan persahabatan di Stadium Shah Alam.

Harimau Malaya mengalami dua kekalahan berturut-turut iaitu tewas 0-1 kepada Vietnam di Hanoi sebelum kecundang 0-2 di tangan Thailand di Bangkok.

Sekiranya anak buah Rajagobal terus menampilkan aksi goyah sebagaimana ditampilkan ketika menentang Vietnam, Thailand dan Hong Kong, mereka mungkin sudah boleh melupakan misi untuk mempertahan kejuaraan Piala AFF Suzuki kali ini.

Mengulas dengan lebih lanjut, Rajagobal mengakui kecewa dengan sebahagian pemain yang mana mereka tidak bermain pada tahap sebenar mereka.

Namun, jurulatih yang berusia 56 tahun itu tetap optimis dan menyifatkan dengan kekalahan ini, beliau dapat mengenal pasti karakter beberapa pemain dalam skuadnya.

"Saya akui kecewa kerana beberapa pemain beraksi di bawah tahap sebenar mereka. Mereka juga gagal menandingi tempo permainan yang lebih agresif dan laju yang dipamerkan oleh pemain pasukan pelawat.

"Tapi, saya yakin dengan kekalahan ini bagus buat pemain dan akan memberi kesedaran kepada mereka untuk lebih bekerja keras," jelasnya yang tidak menafikan

Hong Kong beraksi dengan corak permainan yang berbeza berbanding perlawanan sebelum ini.

Dalam pada itu, ketika ditanya mengenai kesilapan Aidil dan Khairul Fahmi menyebabkan hasratnya mahu mencari kemenangan gagal dicapai, Rajagobal bagaimanapun enggan menunding jari kepada mana-mana pihak, namun menyifatkan kesilapan boleh berlaku di mana-mana sahaja.

"Kesilapan yang berlaku adalah tanggungjawab pasukan dan perlu dijadikan pengajaran di masa depan.

"Dalam situasi macam ini, pemain harus ada keyakinan, dan kesilapan seperti ini harus dijadikan pengajaran agar pemain akan lebih serius dalam perlawanan akan datang," jelas beliau.

Skuad Harimau Malaya bakal menamatkan aksi persahabatan menentang Bangladesh di stadium yang sama pada 20 November ini.

PBNJ bincang isu Mat Yo Isnin ini


Mat Yo
Mat Yo
KUALA LUMPUR - Persatuan Bola Sepak Johor (PBNJ) akan mengadakan mesyuarat khas Isnin ini bagi membincangkan isu perpindahan penyerang Kelantan Norshahrul Idlan Talaha ke pasukan itu musim depan yang masih belum menemui jalan penyelesaian.

Setiausaha Kehormat PBNJ Suhairi Hashim berkata selain isu perpindahan pemain itu, mesyuarat yang akan dipengerusikan oleh Tengku Mahkota Johor Tunku Ismail Idris Sultan Ibrahim merangkap Presiden PBNJ dijangka akan membincangkan perkara lain termasuk penjualan tiket serta persediaan pasukan itu menghadapi Liga Malaysia musim depan.

"Kita tidak mahu memanjangkan isu ini (perpindahan Norshahrul ke Johor) bagi mengelakkan lebih banyak salah faham antara mana-mana pihak... jadi kita akan membuat keputusan mengenai perkara ini pada mesyuarat khas 19 Nov ini di Johor Baharu," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) Tan Sri Annuar Musa semalam dipetik sebagai berkata pihaknya bersetuju untuk melepaskan penyerang berusia 26 tahun itu beraksi bersama Johor musim depan sekiranya mereka memenuhi syarat dan terma perpindahan yang ditetapkan Kafa.

Annuar turut dilaporkan sebagai berkata bahawa Kafa terpaksa menanggung kos berjumlah hampir RM1 juta termasuk pemberian insentif ketika mengikat kontrak selama dua tahun dengan pemain itu tahun ini.

Norshahrul atau lebih dikenali dengan gelaran Mat Yo di kalangan rakan sepasukan menjadi sasaran PBNJ berdasarkan reputasi pemain itu yang meraih anugerah pemain paling bernilai (anugerah Supermokh) serta penyerang terbaik untuk tiga tahun berturut-turut.

Dalam perkembangan berasingan, Suhairi berkata pasukan Johor FA yang dahulunya dikenali sebagai Johor FC bakal diperkuatkan dengan kehadiran pemain import terbaharu dari Itali, Simone Del Nero yang bakal tiba bersama ejennya esok di Johor Baharu.

Beliau berkata bekas pemain kelab Serie A Itali iaitu Lazio dijangka mengikat kontrak selama setahun bersama PBNJ.

Sebelum ini, mereka telah berjaya mendapatkan khidmat bekas penyerang antarabangsa Sepanyol, Daniel Gonzalez Guiza juga dengan kontrak selama setahun.

Sebagai rekod, PBNJ telah berjaya mendapatkan khidmat lima pemain ternama tempatan untuk beraksi bersama mereka musim depan iaitu bekas kapten Selangor Safiq Rahim, tiga pemain Angkatan Tentera Malaysia (ATM) iaitu pasangan kembar Mohamad Aidil Zafuan Abdul Radzak dan Mohamad Zaquan Adha,  Mohd Azmi Muslim serta bekas pertahanan Terengganu Mohd Muslim Ahmad.

Persahabatan: Malaysia-Hong Kong seri 1-1

Safee Sali
Safee Sali melakukan percubaan sementara dikawal rapat oleh pemain Hong Kong, Lee Chi Ho (kanan) dan Chan Wai Ho (kiri) dalam perlawanan persahabatan.

BERIKUT keputusan perlawanan persahabatan antara Malaysia dan Hong Kong yang berlangsung di Stadium Shah Alam, malam ini.


Malaysia (1) - Hong Kong (1)

Jaringan Malaysia:
Safee Sali minit ke-57

Jaringan Hong Kong:
Lam Hok Hei minit ke-87

Harapan Malaysia semakin pudar pada Piala Sultan Johor

JOHOR BAHARU - Impian Malaysia untuk mempertahankan Piala Sultan Johor semakin pudar apabila kalah 3-2 kepada naib juara Australia pada Kejohanan Hoki Antarabangsa Bawah 21 Tahun di Stadium Hoki Taman Daya di sini, hari ini.
    
Ini merupakan kekalahan kedua-dua berturut-turut buat skuad kendalian Muhammad Dharma Raj Abdullah selepas dipalit kekalahan mengejut 5-2 oleh New Zealand kelmarin.
    
Bagaimanapun, pasukan negara menampilkan aksi yang lebih cemerlang berbanding sebelum ini walaupun dikejutkan dengan gol pembukaan Australia menerusi jaringan Blake Govers pada minit ke-23.
    
Pemain negara Muhammad Firhan Ashaari bagaimanapun bingkas menyamakan kedudukan menerusi hasil pukulan sudut penalti pada minit ke-34 diikuti jaringan oleh Amir Farid Ahmad Fuzi seminit kemudian.
    
Sebaik perlawanan bersambung pada separuh masa kedua, Malaysia terus mengasak dengan mengatur serangan demi serangan ke gawang pasukan lawan.

Bagaimapun rentak permainan pasukan negara mula pincang apabila kapten pasukan iaitu Muhammad Noor Feez Ibrahim dan Shazril Irwan Nazli diperintah keluar padang buat seketika pada minit ke-50 setelah membantah keputusan pengadil perlawanan Coen van Bunge.
    
Kesempatan itu pantas digunakan sepenuhnya oleh pasukan anak didik Paul Gaudoin untuk menyamakan kedudukan pada minit ke-52 melalui Flynn Ogilvie.  
    
Dengan hanya sembilan pemain, Malaysia yang mendapat dua percubaan pukulan sudut penalti gagal memanfaatkan peluang itu untuk menyamakan kedudukan.
    
Kane Posselt muncul wira pasukan Australia apabila menyumbat gol kemenangan pada minit ke-60.
    
Hasrat lebih 4,000 penonton untuk menyaksikan skuad negara menyamakan kedudukan sekali lagi hampa apabila Muhammad Noor Faeez gagal memanfaatkan dua pukulan sudut penalti pada minit ke-65 dan 66 menyaksikan Malaysia terpaksa akur dengan kekalahan tersebut.

Keputusan pengadil perlawanan dari Belanda itu membangkitkan rasa tidak puas hati di kalangan penonton yang memaksa pihak urusetia terpaksa mengiringi beliau sebaik perlawanan tamat.
    
Sementara itu,  Muhammad Dharma Raj menyifakan tindakan pengadil melayangkan kad kuning dan memerintah dua pemain keluar padang buat seketika merupakan satu tindakan kejam.
    
"Kekalahan ini memberikan tekanan kepada kami dan ini kami mesti memenangi dua baki perlawanan dengan Pakistan dan India jika mahu melangkah ke peringkat akhir," katanya.
    
Beliau turut mengakui pasukan negara gagal memberikan persembahan terbaik dan tidak dapat menyempurnakan sembilan pukulan sudut penalti untuk meraih kemenangan.
    
Dalam pada itu, pada perlawanan lain, Jerman mengalahkan New Zealand 5-1 manakala India dan Pakistan seri tanpa jaringan.
    
Esok, Australia akan menentang Jerman pada jam 4.05 petang, New Zealand bertemu India (6.05 petang) manakala Malaysia bertemu Pakistan pada jam 8.05 malam

Astro dapat hak penyiaran tiga musim Liga Perdana Barclays di Malaysia

KUALA LUMPUR - Astro Malaysia Holdings Bhd, kumpulan hiburan media pengguna bersepadu terkemuka Malaysia, telah memenangi tender bagi hak penyiaran Liga Perdana Barclays (BPL) di Malaysia bagi tiga musim mulai 2013/14 hingga 2015/2016.

Sebagai sebahagian daripada persetujuan ini, kesemua 380 perlawanan BPL akan disiarkan secara langsung di Astro.

"Kami amat teruja untuk memperkukuhkan lagi penglibatan kami dengan liga bola sepak paling popular itu dengan membawakan tiga lagi aksi musim bola sepak dari BPL.

"Sejak 1997, Astro telah menyiarkan aksi BPL sebagai sebahagian daripada persembahan menyeluruh program bola sepak bagi peminat bola sepak Malaysia.

"Sekarang, dengan 'Astro On the Go', mereka boleh menikmati acara sukan terbaik melalui peranti mudah alih mereka di mana sahaja mereka berada, serta menikmatinya dalam keselesaan di rumah mereka," kata Ketua Pegawai Eksekutif Astro Malaysia Holdings, Datuk Rohana Rozhan.

Sementara itu, Ketua Eksekutif Liga Perdana, Richard Scudamore, berkata: "Kami amat berbesar hati Astro telah memilih untuk melabur dalam hak penyiaran kami bagi musim 2013/14 dan 2015/16.

"Mereka adalah rakan kongsi jangka panjang Liga Perdana ini dan terkenal dengan penyiaran sukan yang berkualiti.

"Kami tahu mereka akan terus menyiarkan Liga Perdana Barclays bagi tontonan peminat bola sepak Malaysia dengan cara yang menyeronokkan dan inovatif," tegasnya.

Nik Abduh sedia tanding di Pagoh jika parti arah


Nik Abduh
KOTA BHARU - "Saya macam Presiden (Pas). Apa yang diputuskan oleh parti, itulah yang saya yang... (saya tanding). Tak tanding pun tak apa," demikian reaksi Timbalan Ketua Pemuda Pas Pusat,  Nik Abduh Nik Abdul Aziz berhubung saranan supaya beliau mencabar Tan Sri Muhyiddin Yassin di kerusi Parlimen Pagoh pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).

Beliau mengulas cadangan perwakilan dari Kelantan, Ahmad Marzuk Syaari ketika membahaskan ucapan dasar Ketua Pemuda Pas pagi tadi.

Ketika ditanya sama ada beliau bersedia sekiranya diarahkan pucuk pimpinan parti berbuat demikian, Nik Abduh berkata, "bersedia di mana-mana."

"Itu keputusan kita bersama bahawa apabila kita diamanahkan, itu yang disuruh oleh parti... kita akan (ikut)," katanya.

Marzuk dalam perbahasannya berkata, Pemuda Pas perlu menyahut cabaran untuk bertanding di luar zon selesa sebagai bukti kesungguhan sayap parti itu.

"Sekarang ini bukan sekadar Kelantan, tetapi agenda untuk menuju ke Putrajaya, mana mungkin kita tidak mampu bertanding di mana-mana kerusi dicalonkan kalau sekiranya kita mengatakan kita hendak ke Putrajaya.

"Memandangkan sekarang ini, yang sebaiknya kita letak Timbalan Ketua Pemuda kita, kita calonkan bertanding di Pagoh, di Johor," katanya.

Jawapan Nik Abduh dilihat senada dengan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang sebelum ini bahawa beliau sedia menjadi calon di mana-mana kerusi Parlimen termasuk menentang Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di kerusi Parlimen Pekan.

Abdul Hadi merupakan Ahli Parlimen Marang.

Beliau sebelum itu mengejutkan negara apabila menyatakan beliau sedia bertanding di Parlimen Pekan jika diputuskan demikian oleh parti.

Pemuda Pas perlu jadi 'pengkritik' dalam Pakatan


Antara perwakilan yang membahasakan ucapan dasar Ketua Pemuda Pas Pusat hari ini.
Antara perwakilan yang membahasakan ucapan dasar Ketua Pemuda Pas Pusat hari ini.
KOTA BHARU – Pemuda Pas digesa supaya menjadi pengkritik dalam Pakatan Rakyat (PR) demi memperbaiki kelemahan-kelemahan yang ada.

Perwakilan Pemuda Pas Johor, Mohd Faizul Mohd Salleh berkata, beliau mendapati tiada teguran diberikan terhadap PR dalam ucapan dasar Ketua Pemudanya, Nasrudin Hassan.

Katanya, beliau hairan mengapa tiada teguran dilontarkan kerana ia seolah-olah menunjukkan negeri yang diperintah oleh PR adalah ‘maksum’
“Tidak ada teguran diberikan kepada PR dalam ucapan semalam. Bagi Johor, keperluan untuk menjadi ejen pendesak dan pengkritik adalah penting.

“Adakah kerana negeri diperintah PR sudah jadi ‘maksum’. Kita kena perbaiki dan sebagai pemuda kita kena mainkan peranan sesuai dengan status kita,” katanya ketika membahaskan ucapan dasar tersebut di Dewan Jubli Perak, Majlis Perbandaran Kota Bharu (MPKB) di sini hari ini.

Dalam perkembangan sama, perwakilan Negeri Sembilan, Mohd Zulkarnain Mohd Zaki mengkritik Pemuda Pas yang dilihat kurang ‘bermain’ dengan isu-isu semasa.
Katanya, beliau menyeru supaya Pemuda Pas untuk lebih efektif dan memberi respon terhadap generasi muda melalui dasar-dasarnya.

“Kita kena lebih efektif kerana apa saya lihat Pemuda Pas masih tidak sediakan polisi atau dasar terhadap PR. Isu hiburan, ekonomi dan sukan masih belum dikuasai dengan baik. Kita minta dewan pemuda pusat fikir perkara ini baik-baik kerana kita kena jadi juara isu semasa,” katanya.

Pandangan Mohd Zulkarnain itu turut dikongsi bersama perwakilan Perak, Mohd Nazri yang mempertikaikan ke mana perginya Pemuda Pas dalam menghadapi sesuatu isu semasa.

Katanya, beliau mendapati Pemuda Pas sering di belakang parti-parti dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dalam melibatkan sesuatu isu nasional.

“Sebagai contoh isu Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional PTPTN, NGO dan parti lain yang turun dahulu. Mana pergi kita? Saya ingin tekankan Islam mesti memimpin dan mesti dominasi isu-isu anak muda hari ini.

“Turun ke bawah untuk menyelami anak muda. Kena tarik sokongan anak muda untuk ubah persepsi,” katanya.

Ketiga-tiga perwakilan menyokong ucapan dasar Nasrudin.

PBTM: 30 peratus bekas tentera belum daftar sebagai pengundi

KUALA LUMPUR - Kira-kira 30 peratus bekas tentera dikenal pasti masih belum mendaftar sebagai pengundi, kata Presiden Persatuan Bekas Tentera Malaysia (PBTM) Datuk Muhammad Abdul Ghani.
   
Beliau berkata ketika ini terdapat 350,000 bekas tentera sama ada yang berpencen atau tidak di seluruh negara dan seharusnya mereka yang belum mendaftar sebagai pengundi segera berbuat demikian.
   
"Ini kerana apabila seseorang anggota tentera itu berhenti, mereka tidak boleh lagi mengundi dalam kem," katanya kepada Bernama hari ini.
   
Beliau berkata Kementerian Pertahanan sewajarnya memainkan peranan mengingatkan bekas tentera agar mendaftar sebagai pemilih sebaik bertukar status kepada orang awam.
   
Katanya kerajaan menghargai perjuangan bekas tentera dengan pemberian pelbagai imbuhan dan insentif, justeru bekas tentera perlu menjaga imej negara demi kesinambungan perjuangan mereka.

"Tentera ini tunggu arahan. Jadi saya saran wakil rakyat supaya ajak bekas tentera minum, bersembang mengenai politik kerana bekas tentera ini masih tanamkan budaya disiplin yang kuat.
   
"Orang politik kena damping mereka supaya bersama-sama memberi sokongan agar perjuangan bekas tentera dihargai dan tidak disisihkan.
   
"Ramai bekas tentera masuk politik, jadi ahli politik, jadi ahli parlimen termasuk anak bekas tentera pun ada. Kita dapat lihat contoh yang ada ketika ini Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom dan Timbalan Menteri Belia dan Sukan Datuk Razali Ibrahim," katanya.

Isu pembantu rumah warga asing jadi tumpuan Muslimat Pas

KOTA BAHARU - Isu pembantu rumah warga asing menjadi tumpuan pada Muktamar Tahunan Dewan Muslimat Pas Pusat Kali Ke-52 di sini, hari ini apabila usul itu dibahaskan pada muktamar kali ini.

Usul mengenai perkara itu dibawa perwakilan Indera Mahkota, Zuriati Muhammad yang mencadangkan langkah wajar diambil bagi mengurangkan pergantungan pembantu rumah warga asing.

"Rekod menunjukkan kira-kira 200,000 pembantu rumah warga asing di negara kita yang sebahagiannya warga Indonesia.

"Mengapa perlu menggaji orang luar. Pekerjaan ini jangan dianggap kelas terendah dan sudah sampai masanya kita mengambil pekerja tempatan," katanya ketika membawa usul sosial mengenai pembantu rumah itu.

Beliau mencadangkan agar kerajaan menjadikan kerjaya pembantu rumah sebagai pekerjaan menarik dengan menawarkan gaji berpatutan termasuk diberikan caruman dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

Sementara itu, perwakilan Bahagian Batu, Salbiah Abdul Wahab ketika membahaskan isu itu mencadangkan kerajaan mewujudkan institusi melahirkan tenaga kerja dalam bidang itu.

"Saya juga mencadangkan agar ada juga kolej-kolej yang turut menawarkan kursus pembantu rumah ini," katanya.

Tengku Razaleigh: Masyarakat Orang Asli tetap setia dengan BN


Lebuh raya rakyat: Ku Li nasihat Kelantan bincang Pusat
Tengku Razaleigh Hamzah
GUA MUSANG - Anggota Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah memuji sikap masyarakat Orang Asli yang terus setia menyokong Barisan Nasional (BN) pada setiap kali pilihan raya umum (PRU).

Katanya, ini menunjukkan mereka bersatu dalam membuat keputusan yang berkaitan masa depan mereka dan yakin dengan kemampuan kerajaan BN melaksanakan segala kemudahan sebagaimana dinikmati mereka.

"Kita berharap Orang Asli akan terus menyokong BN terutama bagi persiapan menghadapi pilihan raya umum ke-13 tidak lama lagi," katanya ketika berucap pada majlis Penyampaian Bantuan kepada penduduk Orang Asli di Pos Brooke, di sini hari ini.

Hadir sama Anggota Dewan Undangan Negeri Galas, Ab Aziz Yusof, Pegawai Jabatan Pembangunan Persekutuan Kelantan (JPPK) Daerah Gua Musang, Muhammad Shukri Abdul Aziz dan Pegawai Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) Daerah, Azman Ngadiron.

Tengku Razaleigh juga Ketua Umno bahagian turut mengingatkan masyarakat Orang Asli supaya tidak mudah terpengaruh dengan kunjungan orang luar yang datang menabur janji kerana kunjungan mereka boleh membawa perpecahan.
 
Beliau berkata mereka harus berpegang kepada kekuatan perpaduan yang sedia ada kerana kerajaan tidak pernah lupa jasa mereka yang menyokong perjuangan BN sehingga berupaya menang setiap kali PRU.

"Orang luar yang datang mungkin ada membawa maksud lain, tetapi saya percaya Orang Asli mempunyai pendirian dengan menilai sebaik-baiknya sebelum menerima janji mereka," katanya.

Beliau mengulangi komitmen kerajaan untuk terus melaksanakan pelbagai kemudahan di kawasan penempatan Orang Asli selain menyalurkan lebih banyak peruntukan bagi meringankan beban mereka.

"Tengoklah pemberian wang bantuan hari ini sebagai menunaikan janji saya dan penghargaan kepada  Orang Asli yang terus bersama saya pada setiap kali pilihan raya," katanya.

Jangan jadikan agama senjata politik, kata Dr Asri


DR MOHD ASRI ZAINUL ABIDIN
DR MOHD ASRI ZAINUL ABIDIN
SHAH ALAM – Sempena sambutan Maal Hijrah,  ahli-ahli politik dinasihatkan tidak menjadikan agama sebagai senjata politik sebaliknya boleh menggunakan agama sebagai hujah dalam panduan politik.

Bekas Mufti Perlis, Profesor Madya Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin berkata, pemimpin politik wajar mencuba untuk menjadikan gerakan politik selaras dengan nas-nas agama dan tidak menjadikan agama yang dinilai berdasarkan politik kepartian.

 “Agama mesti merentasi parti berdasarkan fakta dan hujah.

“Ahli politik mesti kembali kepada dasar, jika tidak, agama akan hanya dibicarakan di pentas untuk agenda politik,” katanya kepada Sinar Harian Online.

Ketika diminta mengulas mengenai keadaan sekarang di mana terdapat pemimpin politik menjadikan isu agama ketika berpolitik, Dr Asri menjawab, “adalah penting untuk menjadikan agama sebagai asas perjuangan tetapi jangan sesekali menggunakan agama untuk meraih undi."

Beliau menambah, ahli politik tidak boleh menjadikan agama secara selektif.

“Yang mana beri menguntungkan, kita ambil… yang mana merugikan, kita tinggalkan,” jelas beliau lagi.

Malaysia dukacita, kecam kes rogol warga Indonesia


ANIFAH AMAN
Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman
KUALA LUMPUR - Kerajaan Malaysia amat dukacita dengan satu lagi kes perkosa membabitkan wanita Indonesia yang dilapor berlaku di Seremban, Negeri Sembilan baru-baru ini.

"Wanita berkenaan itu juga difahamkan telah diikat dan tidak diberi makan selama empat hari. 

"Kerajaan mengecam sekeras-kerasnya perbuatan keji ini yang juga merupakan sesuatu yang tidak berperikemanusiaan," kata Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Menurut kenyataan itu,  Kementerian Luar akan mengikuti perkembangan kes tersebut dengan Polis Diraja Malaysia serta memberi kerjasama sepenuhnya kepada kerajaan Indonesia.

Mangsa dilapor bekerja sebagai pembantu rumah dan majikannya kini ditahan reman selama tujuh hari sejak 13 Nov lepas bagi membantu siasatan kes mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan atas tuduhan merogol.

Media sebelum ini melaporkan tiga anggota polis ditahan reman selepas didakwa merogol seorang wanita Indonesia yang bekerja sebagai pembantu restoran di Pulau Pinang.

Ketua Ulama Pas: Harussani juga perlu bertaubat


Harun Taib
Harun Taib
KOTA BHARU - Ketua Dewan Ulama Pas Pusat, Datuk Harun Taib meminta Mufti Perak,  Tan Sri Harussani  Zakaria  turut bertaubat kerana didakwa  tidak menyokong perjuangan Islam.

Kenyataan Harun itu dibuat ketika mengulas komen Harussani yang meminta Naib Presiden PKR, Nurul Izzah bertaubat kerana mengeluarkan kenyataan tidak selari mengenai kebebasan agama.

"Bertaubat kalau dia (Nurul Izzah) buat salah besar... Tan Sri Harussani harus bertaubat juga kerana tidak menyokong perjuangan Islam. Dia juga harus bertaubat," katanya selepas merasmikan Muktamar Dewan Ulama Pas Pusat di sini, hari ini.

Sambil mengelak pertanyaan berkaitan Nurul Izzah, Harun tetap mempertahankan kenyataan pemimpin PKR itu yang disifatkan “biasa sahaja."

"Pada asalnya, apabila belum masuk Islam, dia bebas memilih Islam atau tidak.  Tapi, yang tidak bebas (apabila) sudah masuk Islam, tidak boleh sekali Islam, sekali Kristian. Itu tidak adil," katanya.

“Kita tidak ambil berat, kita anggap biasa sahaja, saya tidak mahu bicara soal ini, tanya benda lain seperti (bekas Perdana Menteri, Tun Dr) Mahathir (Mohamad) buat, (Perdana Menteri, Datuk Seri) Najib (Tun Razak) buat,” katanya.

Get widget