Thursday 3 October 2013

Pakatan gesa Petronas turut diaudit

Include Petronas in Auditor-General’s Report, urges lawmaker
Pakatan Rakyat (PR) menggesa Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang turut mengaudit syarikat petroleum negara, Petronas kerana mendakwa syarikat berkenaan tidak pernah diaudit sejak 38 tahun lalu.
Ahli Parlimen Taiping, Nga Kor Ming pada sidang media di lobi Parlimen hari ini berkata, syarikat yang ditubuhkan di bawah Akta Kemajuan Petroleum 1974 bukannya syarikat swasta dan seharusnya tidak terlepas daripada diaudit.
"Pagi ini selepas memeriksa Akta Petroleum 1974, walaupun Petronas ditubuhkan sejak 38 tahun lalu, jelas tidak pernah ada satu pun Laporan Audit Negara ke atas laporan kewangan syarikat minyak nasional ini.
"Laporan Audit Negara tidak dibenarkan untuk audit Petronas, daripada 1974 sehingga sekarang, kalau kita tahu, semua kementerian dan agensi kerajaan diaudit kecuali Petronas, kenapa Pertonas perlu dikecualikan,” katanya.
Nga turut menuntut supaya laporan Ketua Audit Negara 2012 yang diedarkan semalam dibentang untuk dibahaskan di Dewan Rakyat bagi melihat perbelanjaan Petronas.
Sebanyak 40 peratus keuntungan Petronas adalah sumber kewangan negara.
"Kita mengesyorkan Ketua Audit Negara yang dilantik Yang DiPertuan Agong, dibenarkan untuk audit dan laporan audit terhadap Petronas patut diserahkan kepada Dewan Rakyat untuk dibahas.
"Tetapi Akta sekarang ini hanya membenarkan seorang sahaja iaitu Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri, menteri kabinet tidak dibenarkan untuk akses kepada akaun (Petronas).
"Ini tidak lagi menepati keperluan kepentingan negara kita dan juga rakyat," katanya.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dalam jawapan bertulis berkata, Petronas membayar RM732 billion kepada kerajaan Malaysia di bawah empat kategori.
Daripada jumlah itu, ia diperolehi daripada Dividen syarikat berjumlah RM278 billion, keuntungan petroleum RM24 billion, cukai pendapatan RM310 billion dan duti eksport RM20 billion.
"Jumlahnya RM732 bilion, ini adalah lebih besar daripada hutang negara, dibayar kepada kerajaan, tetapi oleh kerana Akta Kemajuan Pertoleum 1974, rakyat sebagai pembayar cukai tidak dapat tahu bagaimana kerajaan menggunakan duit ini dan bagaimana keadaan kewangan sebenar syarikat petroleum negara ini.
"Kami ingin mengesyorkan supaya kerajaan meminda Akta Kemajuan Petroleum 1974 Seksyen 3 dan 5 supaya ia selaras dengan ketelusan,"

No comments:

Post a Comment

Get widget